Memperkukuh pemahaman teknikal, tangani cabaran keselamatan maritim





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas



BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Januari. - Jabatan Perdana Menteri (JPM), melalui Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), Bahagian Sekuriti dan Undang-undang, hari ini telah menganjurkan Bengkel Teknikal Maritim bersama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam (NBD), bertempat di Radisson Hotel, di sini.


Bengkel berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.


Sebagai sebahagian daripada usaha bersama di negara ini, bengkel teknikal berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh pemahaman teknikal maritim, serta menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks melalui pertukaran amalan terbaik dan kepakaran.


Dalam ucapan pembukaan, Pengarah PPMK, JPM, Komander Rasman bin Puteh, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan AS atas penglibatan positif yang berterusan bersama rakan sejawat tempatan dalam inisiatif pembangunan institusi dan kapasiti.


Melalui pertukaran amalan terbaik serta pandangan teknikal daripada rakan sejawatan AS, bengkel berkenaan bertujuan untuk menyelaraskan pengetahuan maritim serta memperkukuh idea tindak balas kolektif dan teratur terhadap cabaran sekuriti ruang maritim secara lebih tersusun dan konsisten.


Bengkel berkenaan bukan sahaja menekankan kepentingan pendekatan Whole of Government dalam sekuriti maritim, malah turut mengetengahkan kepentingan strategik kerjasama rakan kongsi sehaluan antarabangsa.


Kerjasama sedemikian menyokong kepentingan nasional NBD serta mengukuhkan semangat kerjasama serantau dalam memastikan tadbir urus maritim yang berkesan.


Close